Khas buat peminat bola sepak Malaysia, TV9 bakal menyiarkan dua perlawanan persahabatan antarabangsa skuad Harimau Malaya di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu dalam rangka persediaan untuk menghadapi Piala Asia tahun depan.

Ia dimulakan dengan perlawanan persahabatan diantara Malaysia menentang Kepulauan Solomons pada 14 Jun (Rabu) diikuti dengan satu lagi perlawanan bertemu Papua New Guinea pada 20 Jun (Selasa).

Siaran langsung kedua-dua perlawanan ini akan bermula pada pukul 8.30 malam.

Sudah tentu ramai peminat dan penonton tidak sabar melihat aksi-aksi hebat daripada pemain skuad Harimau Malaya seperti Faisal Halim, Brendan Gan, Dion Cools dan Darren Lok.

Lebih menarik, skuad Harimau Malaya kali ini mungkin diperkuatkan oleh dua pemain naturalisasi baharu iaitu Endrick Dos Santos dan Paulo Josue yang telah menerima taraf warganegara Malaysia bulan lalu.

Dua aksi persahabatan ini merupakan medan untuk ketua jurulatih, Kim Pan-gon menjalankan ‘eksperimen’ bagi menilai prestasi pemain baharu dan lama dalam perlawanan kompetitif di pentas antarabangsa.

Harimau Malaya beraksi di Kuala Terengganu untuk memberikan peluang kepada peminat di pantai timur iaitu Terengganu dan Kelantan menyaksikan perlawanan antarabangsa lebih dekat.

Pada jendela FIFA bulan lepas, pasukan negara berjaya mencatat dua kemenangan ketika berdepan Turkmenistan dan Hong Kong sekaligus memperbaiki kedudukan dalam ranking FIFA.

Skuad kendalian Kim Pan-gon itu menewaskan Turkmenistan (ranking 135) 1-0 pada 23 Mac lepas hasil jaringan tunggal Akhyar Rashid pada minit ke 28.

Pada perlawanan kedua, Harimau Malaya mencatat kemenangan 2-0 ke atas Hong Kong (ranking 146) sekaligus mengutip jumlah mata ranking FIFA keseluruhan kepada 1083.13 mata.

Ayuh sama-sama kita menyokong skuad Harimau Malaya dengan menonton perlawanan antarabangsa yang disiarkan di TV9. Anda juga boleh menonton menerusi saluran Unifi TV 109, Astro 149 dan strim di tonton!